Islam Hakiki

Setiap anak yang lahir dari keluarga Muslim, biasanya akan diazankan di telinga kanannya, dan diiqamatkan di telinga kirinya. Tanda bahawa dia telah pun tergolong dalam umat Islam sejak awal kelahirannya. Begitu juga saya. Sejak kecil, saya diajar menunaikan solat, membaca al-Quran, menyebut nama Allah, dan menjauhkan diri dari perkara haram. Saya membesar dalam suasana yang baik, dengan pengaruh Islam di sekeliling saya. 

Namun setelah berpuluh tahun hidup sebagai Muslim, satu hari saya bertanya diri sendiri:

Adakah saya benar-benar memahami Islam seperti yang Allah kehendaki?

Atau saya sekadar mewarisi Islam daripada ibu bapa dan masyarakat, tanpa memahami tujuan sebenar ajaran ini?

Soalan itu membawa saya kepada satu kesedaran yang sangat mengejutkan:

Saya tidak pernah murtad, tetapi saya hanya mewarisi Islam secara luarannya sahaja. Saya mengikutnya kerana semua orang di sekeliling saya begitu. Saya tidak pernah bertanya kenapa saya perlu solat, atau kenapa saya perlu berpuasa, saya hanya tahu ia wajib.

Di sinilah saya menyedari bahawa Islam yang saya amalkan selama ini ialah Islam Warisan, Islam yang saya terima daripada ibu bapa atau orang lain, ikut-ikutan, belum saya gali sendiri dengan kesedaran dan kefahaman yang mendalam.

 

Apakah Maksud Islam Warisan?

Islam Warisan ialah Islam yang:

· Diikuti kerana kebiasaan, bukan kesedaran. 

· Diamalkan secara ritual, bukan sebagai misi hidup.

· Diwarisi secara budaya, bukan difahami secara nilai dan sistem.

Ia bukanlah satu kesalahan, kerana mewarisi sesuatu yang benar adalah lebih baik daripada hidup tanpa petunjuk. Tetapi bahaya Islam Warisan ialah apabila ia menjadi statik, tidak berkembang, tidak menyuburkan jiwa, dan tidak membentuk peribadi khalifah.

Islam Warisan boleh menjadikan seseorang Muslim, tetapi tidak semestinya menjadikan seseorang itu mukmin.

 

Tanda-Tanda Islam Warisan

Berikut beberapa ciri yang saya dapati dalam diri saya dahulu, dan saya percaya ramai juga mengalaminya:

i. Solat dilakukan, tetapi tidak menegah daripada kejahatan.

ii. Puasa dijaga, tetapi hati tidak disucikan dari sifat sombong dan pentingkan diri.

iii. Zakat dikeluarkan, tetapi tidak mengubah nasib golongan yang miskin secara sistematik.

iv. Doa dan zikir dibaca, tetapi kehidupan tidak berubah kepada lebih rahmat dan manfaat.

v. Al-Quran dibaca, tetapi tidak dijadikan panduan urus hidup dan masyarakat.

Ini semua adalah amalan yang sah, tetapi tanpa kesedaran peranan sebagai khalifah, semuanya tinggal sebagai ritual.

 

Islam Warisan Bukan Salah, Tetapi Tidak Cukup

Saya tidak menulis ini untuk merendahkan mereka yang hidup dalam Islam Warisan. Saya sendiri melaluinya. Bahkan, saya bersyukur kerana Islam Warisan memberi saya permulaan. Tetapi saya juga sedar, ia tidak cukup untuk membentuk peribadi seorang khalifah.

Islam Warisan hanya mengajar saya apa yang perlu dibuat, tetapi tidak menjelaskan mengapa saya wujud.
Islam Warisan mengajar saya larangan dan perintah, tetapi tidak mengajarkan saya misi dan amanah.
Islam Warisan menjadikan saya Muslim, tetapi bukan khalifah.

Islam yang Hakiki: Islam yang Dimulakan dengan Kesedaran Misi

Islam yang hakiki ialah apabila seseorang menyedari bahawa dia:

· Diciptakan oleh Allah bukan hanya untuk beribadah, tetapi untuk memakmurkan bumi dengan rahmat dan keadilan.

· Diberi nikmat bukan hanya untuk dinikmati, tetapi untuk dimanfaatkan untuk orang lain.

· Dipertanggungjawabkan atas bumi, manusia lain, dan seluruh makhluk di sekitarnya.

Inilah yang saya temui dalam ayat 30 surah al-Baqarah:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi ini seorang khalifah.

Bila saya membaca ayat itu, saya tersentak. Ia bukan hanya berkisar tentang Nabi Adam. Ia berkisar tentang manusia - saya, anda, dan semua umat Islam.

No comments:

Post a Comment